Rabu, 4 April 2018

CADANGAN PENYELESAIAN ISU

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan, penekanan diberikan kepada usaha untuk menangani jurang pencapaian pelajar sekolah bandar dan luar bandar. Antara usaha-usaha tersebut ialah :-

Program Transformasi Daerah (DTP)
Program ini yang dirintis di Sabah dan Kedah, bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah di samping merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar. Sekolah yang berprestasi rendah telah dibantu oleh SIPartner+ dan SISC+, manakala sekolah-sekolah dalam Band 3 hingga 5 diusahakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik.

  

Meningkatkan Kualiti Guru
Guru menjadi tumpuan utama dan berperanan menjadi pemimpin dalam bilik darjah.  Pelbagai bentuk sokongan, bimbingan dan latihan disediakan bagi meningkatkan  pengetahuan dan kemahiran pengajaran untuk mengatasi jurang pencapaian. Kerajaan perlu menghantar lebih ramai guru yang berpengalaman mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris ke kawasan luar bandar. 

Mengadakan Ceramah Keibubapaan
Guru dan sekolah perlu memberi penerangan kepada ibu bapa tentang kepentingan anak-anak mendapat pendidikan secukupnya di sekolah. Hal ini penting bagi menjamin masa depan anak-anak mereka. Selain itu, kem motivasi untuk para pelajar juga perlu diadakan bagi menaikkan semangat mereka untuk belajar. 

Memberikan Sokongan dan Bimbingan kepada Anak-anak
Selain kerajaan, guru dan pihak sekolah, ibu bapa terutamanya memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding guru-guru dan rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, sokongan dan bimbingan dari ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk mereka. Ibu bapa di luar bandar perlu lebih berfikiran terbuka dan optimis dalam setiap perkara yang berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka. 

Meningkatkan Kualiti Infrastruktur di Sekolah-sekolah
KPM telah berjaya membaiki 1,693 buah sekolah yang daif pada tahun 2013. Namun begitu, masih banyak lagi sekolah yang berkeadaan daif untuk ditingkatkan kualiti  infrastruktur khususnya di negeri Sabah dan Sarawak. Infrastruktur seperti bekalan komputer dan sumber rujukan berbahasa inggeris juga perlu lebih banyak disalurkan kepada sekolah-sekolah luar bandar.

Akhir kata, kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha dan komitmen berterusan daripada semua pihak, terutamanya pegawai pelaksana, ibu bapa, badan bukan kerajaan, kumpulan masyarakat, dan penderma. Oleh itu, semua pihak pelaksana haruslah mengambil perhatian dan komitmen yang tinggi bukan sahaja dalam proses pdpc murid, tetapi juga dalam aspek kebajikan dan keperluan sosial murid terutamanya di kawasan pedalaman.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan